Kenali Musuh Kewangan Anda!

Sedar atau pun tidak, di dalam kewangan pun kita turut berhadapan dengan pelbagai musuh. Musuh inilah yang seringkali melumpuhkan status kewangan kita. Ada musuh yang terpaksa kita hadapi dan sukar untuk kita bendung. Dan ada pula musuh kewangan yang sengaja kita cari demi menyusahkan diri kita sendiri

Apakah musuh kewangan kita? Berikut adalah di antara musuh-musuh kewangan kita :


1) Inflasi
~ Inflasi merupakan musuh nombor 1 di dalam sistem kewangan kita. Tiada siapa yang dapat menghindarkan diri dari inflasi ini. Tapi, apakah itu inflasi?. Di dalam istilah ekonomi inflasi bermaksud peningkatan yang berterusan dalam tingkat harga umum barangan dan juga perkhidmatan.

Oleh kerana itulah apabila inflasi berlaku, kita pasti berhadapan dengan harga barang dan perkhidmatan yang tinggi. Sekaligus juga menyebabkan kos sara hidup kita yang tinggi. Bukan itu saja, sungguhpun kita menyimpan dan melaburkan wang kita di bank atau institusi kewangan yang sedia ada. Inflasi ini turut menyusutkan hasil perolehan simpanan dan pelaburan kita itu tadi.

2) Krisis Ekonomi
Krisis ekonomi dan inflasi dua perkara yang tidak boleh diasingkan. Krisis ekonomi mampu mengoyahkan sesebuah negara. Kesannya tetap dirasai oleh semua pihak. Kita tidak dapat membendungkannya.

Ada yang kehilangan tempat kerja dan ada yang rugi di dalam perniagaan akibat krisis ekonomi ini. Kesannya menyebabkan ramai yang kehilangan sumber pendapatan. Tahun 2009 diramalkan akan berlaku gelojak di dalam ekonomi global. Agaknya bilakah sistem ekonomi kapitalis ini akan digantikan dengan sistem ekonomi Islam?


3) Hutang dan pinjaman
~ Hutang dan pinjaman tiada siapa yang dapat menghindarinya termasuklah diri saya sendiri. Kini kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai jenis hutang dan pinjaman. Hutang-hutang yang sering kita hadapi termasuklah seperti hutang pinjaman rumah, pinjaman peribadi, kenderaan dan pinjaman pelajaran.

Selain itu, hutang kad kredit dan pinjaman ke atas setiap pembelian barang secara ansuran turut akan melumpuhkan sistem kewangan kita jika ianya tidak dikawal secara bijaksana.

4) Cukai
~ Cukai ini membabitkan semua orang yang memperolehi pendapatan (gaji). Namun perkara ini jarang dititikberatkan oleh kebanyakkan orang. Ada yang menyedarinya tapi kurang pemahaman bagaimana untuk mengurus cukai yang dikenakan ke atas diri mereka.

5) Bil-bil
~ Bil elektrik, bil air, bil telefon, bil Astro, bil Streamyx dan bil-bil yang sentiasa memeningkan kepala kita setiap penghujung bulan juga merupakan musuh di dalam sistem kewangan kita. Bila saja bil melambung pastinya kita akan mengeluh.

Sekiranya kalian berhadapan dengan bil yang melambung secara tiba-tiba apakah tindakan rasional yang kalian lakukan? Sama ada membiarkannya atau memikirkan cara yang terbaik untuk mengawalnya.

6) Judi dan skim cepat kaya
~ Satu perkara yang saya sedari ialah pada setiap penghujung bulan bukan saja orang ramai menyerbu ke bank-bank. Sebaliknya ke kedai-kedai yang menjual nombor ekor. Kerana ingin cepat kaya ramai yang sanggup meleburkan wang mereka ke kedai-kedai yang menjual nombor ekor.

Bukan itu saja ada yang sanggup berjudi dan menyertai skim cepat kaya gara-gara ingin memperolehi wang yang banyak dengan cara yang singkat. Rezeki takkan datang bergolek tanpa sebarang usaha.

7) Sikap Individu Itu Sendiri
~ Pantang ada promosi harga murah kalau boleh kita nak beli satu kedai tu. Sampai tak cukup tangan nak membelinya. Dan tak kurang juga ada yang punya prinsip ‘biar nampak bergaya asal poket kosong’ kerana semata-mata ingin tampak hebat di mata orang lain.

Berbaloi atau tidak? Ukurlah baju pada badan sendiri. Janganlah kerana ingin nampak bergaya dan hebat di mata orang kita sanggup bergadai dan berikat perut. Menyeksa diri namanya tu. Sekaligus kita memperbodohkan diri kita sendiri.



1 Comments:

Post a Comment

Please don't spam on here..