Laluan Perguruan

KURSUS PRAPERKHIDMATAN

 

Kursus praperkhidmatan merupakan program yang menyediakan latihan untuk guru-guru praperkhidmatan sekolah rendah dan menengah. Program ini dijalankan di institut-institut pendidikan guru seluruh Malaysia. Kelayakan asas dan tempoh pengajian ditentukan mengikut kursus yang ditawarkan. Di antara kursus yang ditawarkan ialah:

 

i.      Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI)

Program KPLI ini ditawarkan kepada pemohon yang memiliki sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda atau setaraf dengannya yang berminat dan berkelayakan untuk menjadi guru di sekolah rendah mengikut bidang yang ditawarkan. Kursus 1 tahun ini ditawarkan bagi pengambilan Februari dan Julai pada setiap tahun. Unjuran pengambilan pelatih bagi program ini adalah berdasarkan keperluan guru semasa dan contoh bidang program yang ditawarkan adalah seperti berikut ;

§  Bahasa Melayu

§   Bahasa Inggeris

§   Bahasa Cina

§   Bahasa Cina (Sekolah Kebangsaan)

§   Bahasa Tamil

§   Bahasa Tamil (Sekolah Kebangsaan)

§   Matematik

§   Pendidikan Islam

§   Sains

§   Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran

§   Pendidikan Seni Visual

§   Kemahiran Hidup

§   Pendidikan Jasmani

§   Bimbingan

§   Pemulihan

§   Pengajian Sosial

§   Pendidikan Muzik

 ii.    Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) :

Program ini dikhususkan untuk melatih guru-guru dalam pelbagai bidang bagi keperluan di sekolah rendah, kecuali bidang Pengajian Bahasa Inggeris (TESL) ditawarkan bagi keperluan di sekolah rendah dan sekolah menengah. Bidang pengajian yang ditawarkan adalah seperti berikut :

  • Bahasa Melayu

  • Bahasa Inggeris

  • Bahasa Cina

  • Bahasa Tamil

  • Bahasa Arab

  • Sains

  • Matematik

  • Pengajian Sosial

  • Pendidikan Islam

  • Pendidikan Seni Visual

  • Pendidikan Jasmani

  • Reka Bentuk dan Teknologi

  • Pendidikan Prasekolah

  • Pendidikan Muzik

  • Pemulihan

  • Bimbingan

  • Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran/ Pendengaran/  Penglihatan)


iii.   Program Kembar Praperkhidmatan B.Ed. (TESL) antara Kementerian Pelajaran Malaysia(KPM) dengan Institusi-institusi Dalam dan Luar Negara :

Kursus ini ditawarkan kepada pemohon lepasan SPM yang berkelayakan dan berminat untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris dan dianugerahkan Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua.

 

iv.   Program Kembar Bahasa Perancis atau Bachelor of Arts Degree in Sciences of Languages and Information Specializing in Teaching French As A Foreign Language

Kursus yang menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda Linguistik ini ditawarkan kepada pemohon lepasan SPM yang berkelayakan dan berminat untuk mengajar matapelajaran Bahasa  Perancis di sekolah. Kursus ini menggunakan kurikulum yang telah dipersetujui bersama dengan University of Poitiers, Perancis.

 

v.  Program Kembar Bahasa Jerman atau Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Jerman Dengan Pendidikan

Kursus yang menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda Linguistik ini ditawarkan kepada pemohon lepasan SPM yang berkelayakan dan berminat untuk mengajar matapelajaran Bahasa Jerman di sekolah.

 


vi.   Program Penghantaran Pelajar-Pelajar Cemerlang ke Luar Negara:

Program latihan perguruan ini ditawarkan kepada calon lepasan SPM yang mencapai keputusan cemerlang dalam SPM dan berminat untuk mangajar dalam matapelajaran mengikut bidang kursus yang ditawarkan. Struktur pengajian adalah selama 6 Tahun iaitu 1 ½  - 2 tahun dalam Kursus Persediaan, 3 tahun dalam Ijazah Pertama di universiti luar negara dan 1 tahun Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di Institut Pendidikan Guru. Kursus yang ditawarkan dalam program ini adalah seperti berikut;

§   Bachelor of Science (Honours) – Physics

§   Bachelor of Science (Honours) – Mathematics

§   Bachelor of Science (Honours) – Biology

§   Bachelor of Science (Honours) – Chemistry

§   Bachelor of Science (Honours) – Clinical Speech Therapy

§   Bachelor of Science (Honours) – Occupational Health Therapy

§   Bachelor of Science (Honours) – Audiology

§   Bachelor of Science (Honours) – Clinical Psychology

 

 

SYARAT DAN KELAYAKAN KURSU-KURSUS PERGURUAN LEPASAN SPM

Calon hendaklah memenuhi syarat-syarat dan kelayakan asas seperti berikut:

 

a)        Warganegara Malaysia.

b)        Umur tidak melebihi 20 tahun iaitu lahir selepas 1 Julai pada masa iklan dikeluarkan.

c)        Mempunyai kelayakan akademik dengan mendapat sekurang-kurangnya
           enam kepujian
di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk mata pelajaran berikut :

·   Bahasa Melayu

·   Bahasa Inggeris

·   Sejarah

·   Matematik atau Matematik Tambahan

·   Biologi atau Fizik atau Kimia atau

Pengajian Kejuruteraan Mekanikal atau Pengajian Kejuruteraan Awam atau Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik atau  Teknologi Kejuruteraan atau Lukisan Kejuruteraan atau Sains atau Sains Tambahan; dan

·    Satu  mata pelajaran yang lain

d)      Memenuhi syarat  dan kelayakan khusus bidang pengajian yang dipohon (Rujuk e-Panduan Permohonan).

e)    Bagi mengikuti Program Penghantaran Pelajar Cemerlang Ke Universiti Terkemuka Luar Negara (PPC), calon hendaklah memiliki sekurang-kurangnya, 7A termasuk mata pelajaran pada para 1.3.1, 1.3.2, 1.3.3, 1.3.4, 1.3.5 dan dua mata pelajaran lain di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Calon yang mencapai gred 3B atau lebih baik dalam matapelajaran Bahasa Inggeris GCE O Level di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau mencapai sekurang-kurangnya Band 5 dalam Malaysian University English Test (MUET) akan diberi keutamaan.

 

f)     Program Kembar Bahasa Peranchis ini terbuka kepada calon yang mempunyai pengetahuan asas bertutur dan menulis Bahasa Perancis serta memiliki sijil kelayakan Bahasa Peranchis sekurang-kurangnya Delf 1. Sebagai prasyarat, calon dikehendaki mengikuti Kursus Persediaan selama 4 semester di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Calon yang lulus Kursus Persediaan dengan jayanya akan ditawarkan bagi mengikuti Program Kembar Bahasa Perancis selama 6-7 semester di Perancis.  Pada tahun empat (4) calon akan menyambung berkursus di IPGM.

 

g)      Program Kembar Bahasa Jerman ini terbuka kepada calon yang mempunyai pengetahuan asas bertutur dan menulis dalam Bahasa Jerman. Sebagai prasyarat, calon dikehendaki mengikuti Kursus Persediaan  selama dua tahun di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Calon yang lulus kedua-dua Kursus Persediaan dengan jayanya akan ditawarkan mengikuti Program Kembar Bahasa Jerman di universiti tempatan selama 6 semester (Tahun 1, 2 dan 3) dan di IPGM selama 2 semester (Tahun 4).

 

h)      Untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), calon dikehendaki mengikuti Kursus Persediaan selama 3 semester di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai prasyarat. Hanya calon yang lulus Kursus Persediaan dengan jayanya akan ditawarkan untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan selama 8 semester di IPGM/ IPTA.  Calon yang menamatkan program ini dengan jayanya akan dianugerahi Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepujian/ B. Ed. (TESL).

 

i)      Calon yang dipanggil temu duga dikehendaki menduduki ujian Inventori Sahsiah Keguruan (INSAK) semasa menghadiri temu duga.

 

j)    Pemilihan calon untuk mengikuti kursus perguruan adalah bergantung kepada  kedudukan pencapaian merit skor akademik, prestasi dalam temu duga dan juga keputusan ujian sahsiah. Keutamaan akan diberi kepada calon yang aktif di dalam aktiviti kokurikulum.

 

k)    Kementerian Pelajaran Malaysia berhak menawar program atau bidang pengajian bukan pilihan dan menempatkan calon yang berjaya di mana-mana Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) atau di mana-mana universiti yang ditetapkan.

 

l)       Calon dinasihatkan menyemak status permohonan mereka dari semasa ke semasa untuk status panggilan temu duga dan juga tawaran ke IPGM/ Kolej yang ditetapkan.Tiada surat menyurat dikeluarkan untuk panggilan temu duga. Segala perbelanjaan untuk menghadiri temu duga adalah tanggungan calon sendiri.Surat tawaran rasmi bagi calon yang berjaya akan diserahkan di IPGM/ Kolej yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia setelah calon melapor diri pada hari pendaftaran.

 

 

SYARAT DAN KELAYAKAN KURSUS KPLI

 

a.    Warganegara Malaysia

 

b.    Umur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Jun 2009 iaitu  lahir selepas 1 Jun 1974.

c.    Memiliki Ijazah Sarjana Muda atau setaraf dengannya daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) / Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)  tempatan atau luar negara.

 

d.    Memiliki ijazah yang diiktiraf oleh kerajaan.

 

e.    Memiliki kepujian Bahasa Melayu di peringkat SPM/SPM(V) atau lulus kertas khas Bahasa Melayu di peringkat universiti/ IPTA tempatan yang diiktiraf. Prinsipal Bahasa Melayu di peringkat STPM boleh menggantikan kepujian Bahasa Melayu di peringkat SPM/SPM(V).

 

f.     Bagi memohon  Kursus Perguruan Lepas Ijazah (Sekolah Rendah) j-QAF Mode Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah, calon hendaklah memiliki ijazah sama ada dalam bidang Pengajian Islam atau Pengajian Bahasa Arab atau al-Quran atau bidang yang berkaitan.

 

g.    Calon hendaklah sihat tubuh badan dan berupaya mengikuti program-program yang dirangka untuk kursus ini.

 

h.    Calon yang berjaya dan ditawarkan kursus mestilah menunjukkan ijazah (skrol) semasa pendaftaran di Institut Pendidikan Guru Malaysia.

 

i.    Calon yang masih lagi terikat dengan kontrak perkhidmatan agensi kerajaan termasuk yang sedang mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah (Sekolah Rendah) j-QAF Mode Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah atau Kursus Dalam Cuti tidak layak memohon.

 

 CARA MEMOHON

 

i.  Calon dikehendaki merujuk e-Panduan Permohonan terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan melalui laman web Kementerian Pelajaran Malaysia di alamat URL seperti berikut: http://www.moe.gov.my

Permohonan boleh dibuat secara Aplikasi Dalam Talian (on-line) sahaja.

 

ii.    Permohonan Dalam Talian hanya boleh dibuat dengan menggunakan Nombor Pengenalan Individu (PIN) yang boleh dibeli di Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara dengan bayaran sebanyak RM 6.00 (Ringgit Malaysia Enam sahaja). Calon atau wakilnya hendaklah membawa bersama kad pengenalan atau salinan kad pengenalan calon untuk membeli nombor  PIN ini.

 

iii.   Calon dibenarkan mengemukakan satu permohonan sahaja.

 

iv.  Calon diminta mengisi DUA pilihan kursus sahaja mengikut keutamaan daripada mana-mana senarai kursus yang ditawarkan.

 

v.   Gunakan nombor PIN yang sama untuk membuat pindaan butiran kepada permohonan yang telah dihantar. Pindaan butiran permohonan dihadkan tiga kali sahaja dan hendaklah dibuat sebelum tarikh tutup permohonan.


vi.   Maklumat yang tidak lengkap, boleh mengakibatkan permohonan ditolak.


vii.  Calon yang dipanggil menduduki MTeST dikehendaki mencetak Tiket Panggilan Ujian daripada internet dan dibawa bersama semasa ujian.


viii.  Calon yang layak dipanggil temu duga dikehendaki mencetak Surat Panggilan Temu Duga, Lembaran Pernyataan Hasrat, dan Borang Butiran Diri daripada internet. Borang Butiran Diri dan Lembaran Pernyataan Hasrat yang telah diisi dan dilengkapkan hendaklah dibawa bersama-sama dengan dokumen-dokumen lain pada hari temu duga. Bahagian Pendidikan Guru tidak akan mengeluarkan  makluman secara bersurat  kepada calon.


ix.  Calon yang sedang berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia atau badan berkanun dikehendaki membawa surat pengesahan Ketua Jabatan semasa temu duga.

 

IKATAN PERJANJIAN PENDIDIKAN GURU

 

Calon yang ditawarkan mengikuti kursus di Institut Pendidikan Guru Malaysia adalah tertakluk kepada ikatan Perjanjian Pendidikan Guru seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Calon hendaklah bersetuju dan patuh dengan kontrak perjanjian untuk berkhidmat di mana-mana sekolah atau institusi pendidikan  termasuk di kawasan pedalaman seperti yang diarahkan oleh pihak kerajaan setelah tamat berkursus.

sumber: http://www.moe.gov.my

1 Comments:

Post a Comment

Please don't spam on here..